LATAR BELAKANG YAYASAN PERAK

PENGENALAN

Yayasan Perak ditubuhkan pada 12 Julai 1979 mengikut Enakmen Penubuhan Yayasan Perak Bil. 2 tahun 1979. Enakmen asal ini telah dipinda dan digantikan dengan Enakmen Bil. 6 Tahun 1994 yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri pada 29 Ogos 1994. Di peringkat awal penubuhan Yayasan Perak, ianya telah diuruskan oleh seorang pegawai di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak secara sambilan.

Mulai Julai 1984, Y.A.B. Menteri Besar telah mengarahkan supaya Yayasan Perak ditadbir dan diuruskan secara sepenuh masa. Dengan itu, jawatan Pengurus Besar dan kakitangannya diwujudkan dan Yayasan Perak mula mempunyai pejabat sendiri. Pada awalnya Yayasan Perak telah menyewa bilik di Bangunan Seri Kinta dan telah beroperasi di situ selama dua tahun. Kemudian Yayasan Perak telah berpindah ke bangunannya sendiri di Wisma Yayasan Perak di Jalan Sultan Idris Shah pada tahun 1986 sehingga ke hari ini

Bangunan Yayasan Perak juga merupakan
Bangunan Warisan Negeri Perak

                                                                               

 

SEJARAH BANGUNAN YAYASAN PERAK

Pada Januari 2004 genaplah 100 tahun bangunan Yayasan Perak. Bangunan ini mempunyai sejarah kronologinya yang tersendiri. Bangunan ini mula dibina pada Januari tahun 1904. Ia dibangunkan sebaris dengan penempatan awal pekan Ipoh. Pembinaan bangunan ini dilaksanakan oleh P.C.J. W. Birch iaitu Residen ke empat Negeri Perak yang merupakan anak kepada J.W.W Birch. Residen pertama Negeri Perak yang mentadbir Negeri Perak dari tahun 1900 hingga 1912. Pembinaan bangunan ini bermula pada tahun 1902 dan siap pada tahun 1904. Pekerja terdiri daripada orang-orang Cina dan Jawa.

Bangunan ini pada asalnya adalah 2 tingkat dan mempunyai loteng. Tingkat bawah dibina menggunakan batu bongkah manakala tingkat atas adalah daripada kayu, rotan dan buluh. Bangunan ini diubahsuai mengikut peredaran masa sehinggalah dilihat pada hari ini.

Semasa bangunan ini di bawah pentadbiran P.C.J. W. Birch, beliau menjadikan bangunan ini sebagai stor menyimpan barang, tempat mengeluar lesen mendulang dan gudang menyimpan barang-barang keperluan untuk berurusniaga.

Selepas tahun 1912, bangunan ini digunakan sebagai tempat percetakan akhbar dan risalah. Ia dikenali dengan nama “The Times Of Malaya”. Bangunan ini diubahsuai lagi pada tahun 1935 semasa pentadbiran Negeri Melayu Bersekutu. Pengubahsuaian melibatkan penggunaan konkrit dan batu untuk bangunan setinggi empat tingkat. Pihak British menggunakan bangunan ini sebagai penyebaran maklumat dan penerbitan untuk tujuan propaganda.

Pada tahun 1945, Jepun telah mengambilalih bangunan ini dan dijadikan tempat tahanan banduan sementara. Selepas merdeka, bangunan ini telah dijadikan sebagai Pejabat Persekutuan yang diduduki oleh Pejabat Pos, Jabatan Parit & Saliran, Jemaah Elektrik dan sebagainya lagi.

Pada tahun 1985, Yayasan Perak telah dianugerahkan oleh Kerajaan Negeri Perak bangunan ini dengan nilai premium RM3 iaitu RM1 setiap satu lot. Bangunan ini telah diubahsuai secara keseluruhannya di bahagian dalamnya seperti ruang pejabat, dapur, tandas dan juga membina tangga keselamatan di bahagian belakang bangunan tetapi masih mengekalkan rekabentuk asal dibahagian hadapan.

Yayasan Perak mula beroperasi pada tahun 1986 dan bangunan ini masih digunakan sehingga sekarang. Semua pengubahsuaian bangunan ini, lambang FMS (Federal Malay States) dikekalkan. Bangunan ini telah diwartakan sebagai Bangunan Warisan dalam tahun 1991. Kini, usia bangunan Yayasan Perak telah mencecah lebih 100 tahun (1904).